SOALAN: Di masjid tempat
saya berjemaah ada seorang tua pertengahan umur yang sembahyang sunat
tidak ada tamakninah, terutama ketika iktidal. Belum lagi dia menegakkan
badan, dia terus melakukan sujud. Hati saya sering berkata-kata,
``alangkah ruginya orang ini kerana tidak sah sembahyangnya.''
Saya
seakan-akan tidak khusyuk kerana terlalu berkeinginan memastikan yang
pandangan saya tidak silap, iaitu memerhatikannya setiap kali dia sedang
sembahyang tanpa tamakninah. Siapakah yang sepatutnya menegur beliau?
Saya takut dia akan berkecil hati kalau saya menegurnya, kerana dia
telah tua dan selalu berjemaah di masjid. - Amir Hamzah, Selangor.
JAWAPAN: Baginda
Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Barang siapa berwuduk dan
menyempurnakan wuduknya, kemudian dia berdiri melakukan sembahyang, maka
dia hendaklah menyempurnakan rukuknya, sujudnya dan bacaan padanya.
Maka
sembahyang itu berkata: Semoga Allah memelihara akan dikau seperti
engkau telah memelihara akan daku. Kemudian sembahyang itu dibawa ke
langit dengan sinar dan cahaya, maka dibuka untuknya pintu-pintu langit,
sehingga sampai kepada Allah, lalu ia meminta ampun bagi orang yang
melakukan sembahyang tadi. Sebaliknya, jika tidak sempurna rukuk, sujud
dan bacaannya, maka sembahyang itu berkata: Semoga Allah mengabadikan
dikau seperti kau abadikan akan daku. Kemudian ia dibawa naik ke langit,
diliputi oleh kegelapan sehingga sampai ke langit, maka tertutuplah
semua pintu langit baginya, kemudian dilipat sembahyang itu bagaikan
baju yang kusut kumal, lalu dipukulkan dengannya ke muka tuannya.Hadis
ini menjelaskan bahawa ibadah sembahyang yang dilakukan oleh seseorang
itu selain berupaya membentuk peribadi yang baik, ia juga memberi
manfaat kepada tuannya biarpun ketika tuannya masih hidup. Ibadah
sembahyang yang dimaksudkan di sini, ialah sembahyang yang sah dan
diterima oleh Allah.
Perlu dijelaskan bahawa tamakninah adalah
salah satu daripada rukun sembahyang, tanpanya sembahyang seseorang itu
tidak sah. Sembahyang yang tidak sah tidak memberi manfaat kepada tuan
punya diri. Baginda menyuruh setiap orang yang sembahyang itu melakukan
sembahyang sama seperti sembahyang yang dilakukan oleh baginda. Ketika
rukuk, baginda meletakkan kedua-dua telapak tangannya di atas lutut,
kemudian merenggangkan jari-jari dan menunggu sebentar, sehingga setiap
anggota itu berada di tempat masing-masing. Menunggu sebentar yang
dimaksudkan di sini ialah tamakninah. Pada suatu ketika baginda melihat
seorang lelaki yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya, iaitu tanpa
tamakninah. Baginda bersabda: Sekiranya orang ini mati dalam keadaannya
begini, nescaya dia mati luar daripada agama Muhammad. Dia mematuk
sembahyangnya seperti gagak mematuk darah. Perbandingan orang yang tidak
menyempurnakan rukuk dan sujudnya dengan cara mematuk itu adalah
seperti orang yang lapar, yang memakan sebiji atau dua biji tamar, yang
tidak mengenyangkan daripada sesuatu.
Baginda juga menjelaskan
bahawa sesungguhnya tidak diperkira sembahyang seseorang yang tidak
menegakkan tulang belakangnya ketika rukuk dan sujud.Begitu juga halnya
ketika iktidal, seseorang itu hendaklah melakukan tamakninah. Tidak sah
sembahyang seseorang tanpa melakukan tamakninah ketika iktidal. Mengenai
tamakninah pada iktidal, baginda bersabda: Apabila engkau telah
mengangkatkan kepala, maka tegakkanlah tulang belakang kamu dan angkat
kepala sehingga tulang-tulang kembali atau berada di sendinya. Abu
Hurairah r.a telah berkata, bahawa kekasihnya iaitu Rasulullah s.a.w.
melarangnya mematuk-matuk ketika sembahyang seperti patukan ayam.
Baginda juga melarang seseorang itu berpaling, seperti palingan musang
dan duduk seperti duduk kera. Baginda bersabda: Sejahat-jahat curian
manusia itu ialah orang yang mencuri sebahagian daripada sembahyang.
Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, bagaimanakah manusia boleh mencuri
sebahagian daripada sembahyang. Baginda menjawab: Orang yang tidak
menyempurnakan rukuk dan sujudnya.
Juzuk
Jelasnya,
tamakninah adalah salah satu daripada rukun sembahyang yang mesti
dilakukan. Rukun menurut bahasa bererti juzuk atau tiang bagi sesuatu
objek. Apabila ia merujuk kepada ibadah sembahyang ia adalah merujuk
kepada juzuk-juzuk yang tersusun daripadanya hakikat sembahyang.
Tamakninah
pula bererti tenang dan tetap tanpa bergerak, tidak bergoncang atau
tidak bergegar. Yang dimaksudkan dengan tamakninah di sini ialah diam
selepas bergerak dan tetap anggota sekira-kira ada perenggan antara dua
kelakuan. Tamakninah adalah syarat sah bagi rukuk, iktidal, sujud dan
duduk antara dua sujud. Tanpa tamakninah bererti sem bahyang seseorang
itu tidak sah. Ada beberapa tempat dalam sembahyang yang mesti ada
tamakninah, iaitu ketika rukuk, yang mesti dilakukan pada setiap rakaat,
iaitu dengan membongkokkan badan, sambil menundukkan kepala dan dua
tapak tangan diletakkan di atas lutut. Begitu juga ketika iktidal, iaitu
ketika bangun kembali kepada qiyam (berdiri) sebelum. Begitu juga
ketika melakukan sujud dua kali pada setiap rakaat, iaitu dengan
meletakkan dahi di atas tempat sembahyang. Rukun lain yang mesti
disertakan dengan tamakninah ialah ketika duduk antara dua sujud.
Asma
binti Abu Bakar berkata bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Apabila
seorang hamba itu masuk di dalam kuburnya, maka sekiranya dia seorang
Mukmin, dia akan dipagari oleh amalannya, sembahyang dan puasa. Maka
datanglah malaikat dari arah sembahyang tadi, lalu ditolak akan dia, dan
datang dari sebelah puasa maka puasa menolak akan dia, maka ia
mendatanginya lalu menyeru: Duduk, maka duduklah manusia tadi.
Maka
ia pun bertanya kepada amalan: Apakah yang engkau katakan tentang
lelaki ini? Amalan itu bertanya siapa? Lantas ia menjawab: Aku naik
saksi sesungguhnya dia adalah Rasulullah. Baginda bersabda: Maka
malaikat itu pun berkata: Atas dasar demikianlah engkau hidup dan di
atasnyalah engkau mati dan di atasnya engkau dibangkitkan. Allah
berfirman menyatakan bahawa sembahyang mencegah pelakunya daripada
melakukan kejahatan dan kemungkaran. Berdasarkan hadis-hadis di atas,
juga firman Allah yang terakhir ini ternyata bahawa sembahyang yang
dilakukan oleh seseorang hamba itu memberi manfaat kepada diri pelakunya
ketika seseorang itu masih hidup juga ketika mati. Perlu difahami
bahawa sembahyang yang memberi manfaat yang dimaksudkan di sini ialah
sembahyang yang sah hukumnya, iaitu apabila seseorang hamba itu berupaya
melakukan sembahyang itu dengan sempurna atau menepati syarat dan
ketentuannya, iaitu memenuhi segala keperluan rukun sembahyang.
Begitu
juga dengan pembentukan peribadi yang luhur terjadi hasil daripada
ibadah sembahyang yang sah dan diterima Allah. Sembahyang yang tidak
diterima oleh Allah tidak berupaya membentuk peribadi murni. Di antara
petunjuk sembahyang yang tidak sah itu ialah sembahyang yang tidak
disertai dengan tamakninah. Kerana itulah maka ramai orang yang
melakukan ibadah sembahyang, tetapi di luar sembahyang orang yang
berkenaan tetap melakukan kejahatan dan kemungkaran seperti mengambil
riba, makan rasuah, pecah amanah, memakan harta anak yatim dan
sebagainya. Kecenderungan saudara memerhatikan orang lain sembahyang
tanpa tamakninah memang mempunyai alasan. Terfikir oleh akal bagaimana
seorang yang telah berumur boleh melakukan sembahyang tanpa tamakninah.
Kalau umurnya menjangkau 50 tahun misalnya dan sembahyang yang dilakukan
tanpa tamakninah, maka sembahyang yang dilakukan menjadi sia-sia.
Walaupun demikian, apa yang saudara lakukan itu tetap mengubah rasa
khusyuk ketika sembahyang. Saudara sewajarnya menumpukan pengamatan
kepada Allah yang disembah. Memang saudara ada alasan berbuat demikian,
tetapi alasan itu ditambah lagi oleh gesaan syaitan agar saudara
memerhatikan hal seumpama ini berulang kali, menyebabkan konsentrasi
saudara berada di luar sembahyang biarpun diri saudara tetap dalam
sembahyang.
Baginda ada bersabda: Bahawa apabila seseorang itu
sembahyang, maka janganlah kamu berpaling muka, mengangkat pandangannya
ke langit, ke kanan atau kiri. Sesungguhnya Allah mengarahkan mukanya ke
muka hamba-Nya ketika hamba itu bersembahyang, selagi dia tidak
berpaling. Setiap orang berhak menegur saudaranya yang melakukan
kesilapan apatah lagi sekiranya ia melibatkan ibadah seperti ini. Bagi
orang yang ditegur pula, andainya dia seorang yang bijak, selalu datang
berjemaah, dia akan banyak berterima kasih apabila diperbetulkan.
Walaupun demikian tidak semua orang dapat menerima teguran walaupun niat
orang yang menegur itu baik. Kerana itu setiap orang perlu berhati-hati
untuk berbuat demikian.Dalam keadaan seumpama ini, imam adalah orang
yang lebih utama untuk membetulkan atau menegurnya kerana dia adalah
ketua bagi sebuah masjid biarpun tidak dapat dinafikan orang lain juga
berhak berbuat demikian. Selain daripada itu guru yang memberi kuliah di
masjid perlu menegur kesilapan orang lain. Dalam keadaan apa sekalipun,
memang ada orang yang terus melakukan sembahyang tanpa tamakninah
terutama ketika iktidal, biarpun telah diberitahu dan diperingatkan
berulang kali.
Copied from : http://aidilmemuslim.blogspot.com